Home Ekonomi AS ancam tambahan tarif AS$100b ke atas China

AS ancam tambahan tarif AS$100b ke atas China

Amerika Syarikat mengenakan tarif baharu ke atas barangan China bernilai AS$200 bilion mulai 24 September lalu. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengarahkan pegawai-pegawai perdagangan Amerika Syarikat untuk mempertimbangkan tarif tambahan sebanyak AS$100 bilion dikenakan ke atas China.

Tindakan itu akan memacu pertikaian perdagangan yang sudah semakin panas antara dua negara terbesar di dunia.

Trump dalam satu kenyataan berkata, tambahan tarif itu “berdasarkan tindak balas tidak adil China” terhadap perdagangan Amerika Syarikat sebelum ini, termasuk tarif sejumlah AS$ 50 bilion pada barangan China.

Beliau menambah, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat mendapati China “telah berkali-kali terlibat dalam amalan untuk mendapatkan harta intelek Amerika secara tidak adil.”

Tindakan Trump itu telah memberi kesan dalam pasaran niaga hadapan ekuiti Amerika Syarikat.

Niaga hadapan e-mini S & P 500 diniagakan turun 1.3 peratus, sementara prestasi serupa dicerminkan dalam niaga hadapan Dow dan Nasdaq.

Di pasaran mata wang, dolar Amerika Syarikat susut 0.30 peratus berbanding yen Jepun kepada 107.06 yen.

Awal minggu ini, pentadbiran Trump mencadangkan kenaikan 25 peratus tarif ke atas 1,300 produk perindustrian China dan lain-lain.

China bertindak balas dengan menyenaraikan duti yang sama ke atas import Amerika termasuk kacang soya, pesawat, kereta, daging lembu dan bahan kimia.

“Daripada membetulkan salah lakunya, China telah memilih untuk membahayakan petani dan pengeluar kita,” kata Trump.

Tindak balas ke atas tarif antara China dan Amerika Syarikat itu menimbulkan kebimbangan perang dagangan yang menjejaskan pertumbuhan global.

Malah, pembuat dasar Republikan dari negara barat juga telah menyuarakan kegusaran mengenai kesan negatif terhadap pengeksport-pengeksport ternakan Amerika Syarikat.

China merekodkan lebihan dagangan barangan sejumlah AS$375 bilion dengan Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Berikutan itu Trump telah menuntut agar China mengurangkan jurang perdagangan sebanyak AS$ 100 bilion. – MalaysiaGazette