Home Politik Bubar Parlimen, Hadi kata Pas sudah sedia

Bubar Parlimen, Hadi kata Pas sudah sedia

KUALA LUMPUR – Berita pembubaran Parlimen nyata disambut baik oleh Pas dan Gagasan Sejahtera.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sejak melancarkan manifesto parti itu pada 18 Mac lalu.

“Kita telah bersedia pada bila-bila masa kerana Malaysia ini caranya dia tidak beritahu awal,” katanya di Kampung Rusila di Marang,

Hadi berkata demikian mengulas langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa esok.

Perkara itu diumumkan Najib selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU14.

Jelas Hadi, Pas telah merencanakan pelbagai langkah untuk mendepani PRU14 pada bila-bila masa terutamanya menyegerakan senarai pendek calon parti itu.

“Kita buat persediaan awal daripada manifesto yang telah kita umumkan samada di peringkat nasional dan negeri termasuklah calon-calon dan telah diluluskan oleh Majlis Syura,” katanya.

Dalam pada itu, Hadi berkata, parti itu akan tetap bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU14.

“Kita tetap akan bertanding tidak kurang daripada 130 kerusi dan lihat respon pelbagai pihak samada parti politik mahupun NGO, mereka mahu kita bertanding lebih banyak kerusi,” katanya. – MalaysiaGazette