PUTRAJAYA – Agama tidak sepatutnya digunakan demi kepentingan politik, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, politiklah yang perlu digunakan demi memperkuatkan agama.
“Politik harus digunakan untuk memperkuatkan agama bukan mengunakan agama untuk memperkuatkan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan
Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan di Kompleks Islam malam tadi.
Ahmad Zahid menyeru agar perbezaan ideologi dalam kalangan masyarakat dan umat Islam perlu ditangani dengan baik.
“Meraikan perbezaan mesti dilakukan secara berhikmah. Penyatuan fikrah akan diikuti dengan tindakan-tindakan baik yang dilakukan untuk mengenepikan perbezaan pegangan kita di dalam sahsiah,” katanya lagi.
Zahid sebelum itu merasmikan aplikasi Smart Quran yang dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Agama Islam. -MalaysiaGazette