BAHRAIN – Guenther Steiner menafikan dakwaan kononnya kenderaan Haas 2018 adalah hasil klon Ferrari 2017.
Beliau berkata, segala bahagian aerodinamik telah dibangunkan sendiri oleh Haas.
Haas yang memulakan musim perlumbaan F1 dengan cemerlang musim ini dan ia dipersoal pasukan lain mengenai kerjasama teknikal antara pasukan Amerika Syarikat itu dengan Scuderia dari Itali itu.
Pelumba Mclaren, Fernando Alonso juga melabelkan Haas sebagai replika ‘Ferrari’ sementara ketua Teknikal Force India, Otmar Szafnauer membantahnya.
“Saya tak tahu bagaimana mereka (Haas) cemerlang pada perlumbaan kali ini. Tiada mana-mana pasukan yang pernah melakukannya sebelum ini,” dakwanya sambil menggesa pasukan itu disiasat.
Otmar menyoal keupayaan Haas dalam jangka masa pendek dua tahun menghasilkan kenderaan yang mampu mencabar pelumba utama seperti juara dunia Lewis Hamilton.
“Saya tidak faham bagaimana sesebuah kenderaan yang hanya dua tahun berlumba dengan tidak mempunyai sumber mencukupi mampu menghasilkan kenderaan mantap setaraf Ferrari,” dakwanya lagi.
Bagaimanapun, Steiner yang merupakan pengendali pasukan itu berkata, pasukannya tidak melakukan sebarang kesalahan yang bercanggah dengan peraturan Formula Satu.
Peraturan teknikal menegaskan, bahagian aerodinamik perlu direka secara dalaman tetapi pasukan dibenarkan berkongsi bahagian mekanikal seperti kotak gear.
Pelumba Haas, Romain Grosjean merasakan Haas sudah memulakan kerjasama strategik dengan Ferrari dua tahun lalu untuk mereka bentuk kereta lumba berkompetitif.
“Isu itu tidak seharusnya dibangkitkan memandangkan kira sudah lama berkongsi kerjasama membangunkan jentera kami,” katanya. MalaysiaGazette