Home Utama Transformasi negara tidak harus terhenti di sini- PM

Transformasi negara tidak harus terhenti di sini- PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini secara langsung menerusi TV1 bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan dalam tempoh 60 hari ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Perjalanan transformasi nasional yang dicetuskan sejak 2009 tidak harus terhenti setakat ini sahaja kerana seiring dengan perubahan dunia yang semakin kehadapan, dan Malaysia tidak seharusnya berundur ke belakang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan dengan gigih melaksanakan pelbagai usaha untuk mentransformasi negara yang berpaksikan dua kerangka besar falsafah iaitu Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, yang dicetuskan pada 2009 dan Dasar Transformasi Nasional pada tahun 2010.

Antara beberapa dasar dan inisiatif utama lain turut dilancarkan antaranya, Program Transformasi Negara, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS.

Katanya, rakyat Malaysia sepatutnya bersama-sama meneruskan kejayaan transformasi inklusif demi menuju masa depan yang lebih cerah.

Ini kerana sejak sembilan tahun lalu banyak usaha dan pencapaian cemerlang yang telah dilakukan kerajaan untuk memastikan keamanaan, keselamatan, keharmonian, kestabilan dan kemakmuran negara terpelihara, katanya.

“Kualiti kehidupan rakyat juga berjaya dipertingkatkan menerusi pelbagai dasar yang telah digaris dan dilaksanakan selama ini.

“Jadi, setelah menyaksikan sekian banyak inisiatif dan projek Kerajaan yang bermanfaat untuk rakyat, mengapa masih ada pihak-pihak yang tidak senang hati dan berterusan mentohmah kita sebagai sebuah negara gagal? Di sudut mana yang dikatakan gagalnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembubaran Parlimen ke-13 di Putrajaya hari ini.

Najib juga meminta supaya kerajaan Barisan Nasional diberikan mandat baharu oleh rakyat supaya usaha transformasi yang sedang dijalankan kini dapat diteruskan sekurang-kurangnya untuk lima tahun akan datang.

Dengan itu, beliau mengumumkan Parlimen ke-13 dibubarkan berkuatkuasa esok, 7 April 2018 bagi memberi laluan kepada pilihanraya ke-14 tidak lama lagi.

“Sememangnya, pembubaran ini, menzahirkan komitmen Kerajaan Barisan Nasional terhadap proses demokrasi berparlimen dengan membolehkan pilihanraya umum bagi kali yang keempat belas untuk negara semenjak tahun 1959 dijalankan menurut lunas undang-undang.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, yang menjadi tunjang serta sebati dengan pemerintahan, kuasa untuk memilih Kerajaan, berada sepenuhnya di tangan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette