Home Seni Hidup UM nafi Boy Iman calon PhD

UM nafi Boy Iman calon PhD

KUALA LUMPUR – Datuk Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A. Rahman dikenali dengan kes kontroversi seperti pangkat datuk dan kes pembelian rumah mampu milik.

Kini pelakon itu mencuri perhatian apabila Universiti Malaya (UM) telah mengeluarkan kenyataan menafikan selebriti itu kononnya merupakan calon doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam berkenaan.

“UM ingin menarik perhatian umum berhubung status pendaftaran calon doktor falsafah Noruliman dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (secara penyelidikan).

“Pihak UM telah membuat semakan dan mengesahkan bahawa tiada pendaftaran atas nama individu ini sebagai calon doktor falsafah di UM,” menurut UM dalam satu kenyataan.

UM bertindak membuat semakan rekod, susulan daripada gambar dan status yang memuat naik status di Instagram yang memaparkan gambar kad pelajar di pusat pengajian berkenaan 30 Mac yang lalu.

Bagaimanapun, status berkenaan kini didapati sudah dipadam.

“Buat mereka yang bergelar pakcik bawang dan makcik bawang… hadiah untuk anda,” katanya.

Imej berkenaan turut dimuat naik dengan tanda pagar antaranya #dapatdatopunsusahdapatdoktorpunsalah, #malasnaklayan, dan #doktorfalsafah.

Sementara itu, ketika diminta memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan, Boy Iman hanya memberi jawaban ringkas.

“Saya tiada apa hendak dikomen, malas nak layan tetapi biarlah masa yang menentukan segala tindak tanduk yang dilakukan,” katanya ketika dihubungi sebuah portal sebentar tadi.-MalaysiaGazette