KUALA LUMPUR- Barisan Nasional (BN) berjanji untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya diberi mandat untuk menerajui negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hak-hak Sabah dan Sarawak akan direalisasikan secara konsesus.
Sebelum ini, sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji hak orang Sabah dan Sarawak juga telah ditubuhkan bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat kedua-dua negeri berkenaan dipenuhi berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
BN juga berjanji untuk menubuhkan Institut Kajian Peribumi dan Penduduk Asli du Universiti Malaysia Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah selain berusaha mencerap lebih banyak fakta dan perspektif sejarah dari dua negeri tersebut untuk memantapkan sukatan pelajaran Sejarah.
Dalam usaha merapatkan jurang, BN berjanji untuk melaraskan harga barangan di Sabah dan Sarawak sama seperti di Semenanjung mengikut tema Satu Negara Satu Harga.
Selain itu, peruntukan khusus diwujudkan untuk melatih tenaga pengajar dan keperluan bahan pengajaran Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun, seterusnya disalurkan ke Unit Bahasa Iban.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Unit Bahasa Kadazandusun, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di samping peruntukan khas untuk Kursi Kadazandusun di Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mempergiatkan lagi penyelidikan berkaitan dengan bahasa, budaya dan kesusasteraan Kadazandusun.
BN berjanji untuk menambah jumlah pegawai-pegawai yang berkaitan dengan perkhidmatan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun di Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk memastikan keberkesanan perlaksanaan pengurusan Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun.
Suku kaum Dayak akan diperkasa dengan mewujudkan program khas serta bantuan dana bagi aktiviti menyukat tanah adat, usahawan-usahawan Dayak dan pengajaran Bahasa Dayak.
Dalam masa yang sama menyokong usaha Kerajaan Negeri Sarawak dalam melaksanakan program-program di bawah Unit For Other Religions (UNIFOR).
Bumiputera Sabah pula akan diperkasa dengan mewujudkan program khas serta mempertingkatkan bantuan dana bagi aktiviti-aktiviti penyukatan tanah adat, usahawan-usahawan Bumiputera Sabah dan pengajaran Bahasa-bahasa etnik Bumiputera Sabah.- MalaysiaGazette