Home Politik 10 aku janji pada manifesto MCA

10 aku janji pada manifesto MCA

Sebahagian perwakilan dan penyokong Barisan Nasional (BN) mengibarkan bendera BN semasa menyanyikan lagu 'Barisan Nasional' pada pelancaran Manifesto MCA Pilihan Raya Umum ke-14 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – MCA hari ini telah melancarkan manifesto parti itu untuk Pilihan Raya Umum ke-14 di Dewan San Choon, Wisma MCA hari ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti komponen Barisan Nasional itu menzahirkan 10 aku janji kepada komuniti Cina bagi menagih mandat untk mewakili kaum kedua terbesar negara ini.

Dalam manifesto itu, MCA menggariskan 10 inisiatif tambahan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti Cina dan rakyat secara umum untuk tempoh lima tahun akan datang

Tiong Lai menyeru sokongan padu komuniti China untuk membantu parti itu menyampaikan 10 aku janji dan 10 inisiatif yang dirangka istimewa untuk kaum tersebut.

Aku Janji pertama bertekad mempertahankan kesederhanaan dalam kerajaan, mempertahankan institusi dan menegakkan perlembagaan persekutuan dan Rukun Negara.

Aku janji kedua pula menyuarakan hak seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan keperluan komuniti Cina di Malaysia dalam konteks rakyat Malaysia dan memastikan keseimbangan rakyat majmuk.

Aku janji ketiga ialah MCA berjanji memperkasa pemuda dan wanita Cina dengan menyediakan peluang perniagaan baharu, pekerjaan dan latihan selain mempertingkatkan kemahiran keusahawanan sejajar dengan TN50.

Berikutan itu, katanya, MCA akan melahirkan platform baharu untuk pembangunan kepimpinan dalam kalangan pemuda selain menganjurkan program supaya mereka terus belayar dalam arus perdana kerajaan selain menyertai revolusi digital.

MCA tampil dengan aku janji keempat untuk memperkasa kualiti pendidikan Cina bagiĀ  memastikan UEC diiktiraf dan pendekatan sistematik dalam pembangunan sekolah Cina baharu serta pengagihan peruntukannya secar adil selain pemodenan sekolah Cina menerusi Blueprint Pendidikan Cina selain menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris.

MCA dalam aku janji kelima menekankan tentang menyediakan pendidikan bertaraf global, pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan menerusi Universiti Tunku Abdul Rahman, Kolej Universiti TAR dan Institut VTAR supaya generasi muda Malaysia yang juga bakal pemimpin negara boleh memenuhi potensi mereka menerusi kualiti pendidikan terbaik merentasi perbezaan etnik dan latar belakang keluarga.

Tiong Lai berkata, dalam aku janji keenam, MCA komited terhadap hubungan dagangan dengan China dan ASEAN.

“MCA akan terus memperkuatkan hubungan dengan China dengan membuka perniagaan dan peluang pelaburan di China bersama usahawan China,” jelasnya.

Dalam pada itu Ekonomi Digital dan Inovasi merupakan aku janji ketujuh yang akan mentransformasikan perniagaan tradisional melibatkan peniaga kecil dan sederhana serta perniagaan di rumah menyertai e-dagang.

Selain itu MCA juga mahu memastikan kaum Cina bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan, inovasi dan ekonomi digital secara efisien.

Dalam aku janji kelapan, parti itu mensasarkan pengwujudan bank koperasi Kojadi untukĀ  memperluaskan sokongan kewangan kepada usahawan kecil dan sederhana bagi mengembang dan memperluaskan pasaran ke luar negara.

Pada aku janji kesembilan, Tiong Lai berkata, MCA berjanji mentranformasikan Kampung Baru kepada Pusat Bandar Baharu dengan mempromosikan e-dagang, pertanian moden dan pelancongan eko-budaya.

Selain itu, tambah beliau, akses kepada penjagaan kesihatan mampu milik menjadi satu lagi aku janji dengan keazaman mewujudkan Hospital UTAR sebagai institusi kesihatan terkemuka yang menggabungkan perubatan moden dan tradisional seperti perubatan Cina dan Ayurveda. – MalaysiaGazette