Home Politik Komuniti Cina perlu terus setia bersama MCA – Tiong Lai

Komuniti Cina perlu terus setia bersama MCA – Tiong Lai

Percaturan MCA di Kuantan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju masih belum selesai
Percaturan MCA di Kuantan, Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju masih belum selesai.

KUALA LUMPUR – MCA menyeru komuniti Cina supaya memberi mandat kepada parti itu dan Barisan Nasional untuk terus mewakili kaum tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

 

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, masyarakat Cina perlu mengubah pemikiran kritikal mereka dengan memberi laluan kepada parti itu untuk mengukuhkan perjuangannya dalam kerajaan yang mendukung kepentingan semua kaum secara adil dan inklusif.

Katanya, MCA mahu masyarakat kedua terbesar negara ini terus mendukung bersama parti itu dan BN untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Kita akui perwakilan MCA dalam kerajaan tidak seperti dulu yang mana ada empat menteri penuh dan sembilan timbalan namun keadaan itu tidak wujud ketika ini.

“BN menjaga kepentingan semua kaum secara adil dan kebajikan setiap etnik negara ini sentiasa dibela dengan konsep kepelbagaian sejak dahulu lagi. Kalau kerajaan berasaskan perjuangan satu kaum sahaja ia adalah bahaya dan akan mengundang ekstrimism.

“Maka masyarakat Cina perlu menyedari situasi ini dan perlu konsisten bersama MCA sebagai parti lama yang berjaya membela mereka selama ini untuk meneruskan pembelaan hak mereka,” katanya selepas melancarkan Manifesto MCA PRU14 di Wisma MCA di hadapan lebih 3,000 ahli dan pemimpin parti dari seluruh negara.

Beliau menegaskan, masyarakat Cina tahu MCA berjaya membela mereka di bawah BN sejak merdeka lagi dan menyifatkan sokongan besar perlu diberi sekali lagi untuk meneruskan tradisi kecemerlangan itu. – MalaysiaGazette