Home Dunia Jong-un sedia bincang nuklear dengan AS

Jong-un sedia bincang nuklear dengan AS

Kim Jong-un dan Donald Trump

WASHINGTON – Korea Utara buat pertama kali memaklumkan kepada Amerika Syarikat telah bersedia untuk membincangkan pemberhentian penggunaan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Perkara itu akan dibincangkan oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un apabila bertemu dengan Presiden Donald Trump.

Pegawai Amerika Syarikat dan Korea Utara telah bertemu baru-baru ini dan Pyongyang secara langsung mengesahkan kesanggupannya untuk mengadakan sidang kemuncak yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata sumber kepada Reuters.

Perbincangan masih di peringkat awal membabitkan pegawai-pegawai Jabatan Negara dengan Korea Utara melalui misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pegawai risikan dari kedua-dua pihak menggunakan saluran belakang yang berasingan, kata pegawai itu.

Sehingga kini, Washington telah banyak bergantung pada jaminan sekutu Korea Selatan tentang hasrat Jong-un.

Tetapi Pyongyang masih terus berdiam diri berhubung sidang kemuncak itu, yang difahamkan akan dirancang pada bulan Mei.

Setakat ini tidak ada maklumat lanjut mengenai tempat sidang kemuncak itu akan diadakan, yang mana ia merupakan pertemuan kali pertama antara pemimpin Amerika Syarikat dan Korea Utara.

Sumber bagaimanapun enggan menyatakan dengan tepat bila komunikasi antara Washington dan Pyongyang berlaku cuma memaklumkan kedua-duanya saling berhubungan.

“Amerika Syarikat mengesahkan bahawa Jong-un bersedia untuk membincangkan mengenai pemberhentian nuklear di Semenanjung Korea,” kata sumber itu. – MalaysiaGazette