BANGKOK- Kemerosotan bermusim matawang Thailand, Baht yang dipacu oleh pengaliran keluar dividen dan kekurangan pelancong mungkin lebih buruk tahun ini ditambah dengan peningkatan hasil bon global dan kurangnya kecairan.
Kasikornbank Pcl berkata, penyusutan pelancong selepas festival Songkran pada pertengahan April dan pembayaran dividen kepada pelabur saham asing biasanya menyebabkan penurunan nilai matawang pada Mei.
Tahun lalu merupakan kali pertama Baht berjaya rali pada bulan berkenaan sejak 2009.
Peningkatan hasil pasaran bon negara membangun dan penamatan pakej rangsangan Bank Pusat Eropah mungkin menyebabkan pelabur asing menyeimbangkan semula portfolio mereka daripada pasaran pesat membangun seperti Thailand, kata Ketua Penyelidik Pasaran Modal di Kasikornbank, Kobsidthi Silpachai.
“Baht mungkin menyaksikan tekanan yang lebih hebat tahun ini berbanding biasa.
“Kebanyakan pelanggan bertanyakan tentang musim dividen kali ini sementara para pengeksport mengharapkan ada sinar di hujung terowong,” katanya.
Kejatuhan Baht mungkin memberi sedikit kelegaan kepada para pengeksport yang merungut tentang rali sebanyak 11 peratus berbanding dolar sejak 12 bulan lalu.
Sebanyak 87 bilion Baht (AS$2.8 bilion) dividen saham akan dibayar kepada pelabur bukan residen pada April dan Mei tahun ini, kata Kasikornbank.-Agensi