Home Dunia Somalia rampas hampir AS$10 juta dari pesawat UAE

Somalia rampas hampir AS$10 juta dari pesawat UAE

MOGADISHU – Para pegawai keselamatan Somalia merampas sejumlah wang daripada sebuah pesawat yang tiba di lapangan terbang Mogadishu dari Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.

Dua pegawai kanan memberitahu VOA bahawa tiga beg pakaian mengandungi wang berjumlah AS$9.6 juta telah disimpan di bank pusat Somalia sementara menunggu siasatan dilakukan.

Seorang lagi pegawai berkata, Duta UAE ke Somalia, Mohammed Ahmed Othman Al Hammadi berada di lapangan terbang itu untuk menerima wang tersebut.

Beliau berkata, rombongan Al Hammadi cuba membawa keluar wang itu dari lapangan terbang tersebut tetapi pihak berkuasa keselamatan mengarahkan beg terbabit diimbas.

“Duta itu enggan (melakukannya), berjalan menuju ke pesawat dengan tiga buah beg dan unit counterterrorism megampas ketiga-tiga beg itu,” kata pegawai yang tidak mahu dikenali.

Pesawat Royal Jet dibebaskan.

Al Hammadi memberitahu VOA Somalia bahawa wang tersebut bukannya untuk kegunaan kedutaan UAE.

“Wang itu untuk kementerian pertahanan. Ia digunakan untuk membayar gaji tentera Somalia,” katanya kepada VOA.

UAE melatih tentera Somalia di Mogadishu dan kira-kira 1,000 polis maritim di wilayah Puntland.

Bagaimanapun, para pagawai Somalia menyatakan wang tersebut bukannya untuk tentera Somali.

“Gaji tentera kurang daripada AS$1 juta. Jumlah wang ini hampir AS$10 juta,” kata pegawai tersebut.

“Saya pasti mereka telah dimaklumkan unutk tidak membawa wang. Kewajipan terletak pada kami untuk bertindak balas,” kata pegawai itu.

Beliau menambah, siasatan akan dilakukan bagi menentukan sama ada wang tersebut dibawa untuk ‘menjejaskan kestabilan’ negara itu. – Agensi