ALOR SETAR – Bahang pilihan raya di Kedah semakin dirasai walaupun secara rasminya tempoh berkempen belum bermula, mana tidaknya tempat ceramah Barisan Nasional (BN) di Derga cuba disabotaj oleh pihak tertentu apabila pentas ceramah dibaling dengan telur semalam.
Jentera BN Kedah dijadualkan mengadakan ceramah di Padang Awam Taman Derga Jaya malam ini dengan menampilkan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa dan beberapa penceramah parti komponen namun pihak penganjur mendapati terdapat beberapa telur busuk dibaling ke pentas sehingga menyebabkan bau busuk dan kotor.
Insiden itu dipercayai berlaku awal pagi tadi kerana persiapan pentas telah siap sejak petang semalam.
Satu laporan polis telah di buat oleh Sohaimi Zainal Abidin, Setiausaha Penerangan UMNO Kedah kira-kira jam 1 petang hari ini di IPD Kota Setar.
BN Kedah dalam satu kenyataan membidas tindakan sabotaj tersebut dan mengarahkan supaya keselamatan di bilik gerakan dan pejabat parti dipertingkatkan.
“UMNO Kedah memandang serius kejadian berkenaan dan menyifatkan satu cubaan sabotaj program berkenaan, namun sedikitpun tidak menjejaskan semangat petugas parti.
“Bagaimanapun cubaan sabotaj berkenaan tidak menjejaskan ceramah itu yang akan diteruskan seperti dirancangkan.
“Saya juga meminta semua premis parti seperti bilik gerakan, pejabat parti dan sebagainya mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan sebarang cubaan sabatoj pihak tertentu,” kata Setiausaha BN Kedah, Datuk Md Rozai Shaifian dalam satu kenyataan.
Program ceramah malam ini yang bertajuk “Menolak Pakatan Hipokrasi” anjuran BN Kedah dijadual dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Penerangan UMNO Datuk Othman Abdul dan beberapa pemimpin lain. – MalaysiaGazette