SEMPORNA -UMNO ialah parti yang telah mengangkat darjat serta martabat kerjaya politik bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sepanjang beliau berada dalam parti itu, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata ketika itu seluruh bahagian UMNO Sabah sentiasa memberi laluan dan sokongan penuh kepada Mohd Shafie untuk terus berada kukuh dalam antara barisan kepimpinan tertinggi parti sekali gus menjadi calon tunggal dari Sabah memegang jawatan naib presiden.
Malah, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga memberi kepercayaan kepadanya memegang portfolio timbalan menteri seterusnya menteri kanan di peringkat Persekutuan.
Bagaimanapun, katanya, Mohd Shafie, yang kini presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), tidak pernah menghargai mahupun berterima kasih kepada kepimpinan UMNO dan anggota parti itu yang selama ini menyokong beliau, sebaliknya menderhaka kepada pucuk pimpinan dan memburuk-burukkan parti.
Musa berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna yang dirasmikan perdana menteri di sini, hari ini. Turut hadir Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban yang juga Ketua Penerangan UMNO Semporna; Pemangku Ketua Bahagian UMNO Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran; menteri-menteri Kabinet negeri dan pemimpin masyarakat Semporna, hari ini.- BERNAMA