Home Utama BN garis lapan jaminan untuk orang muda

BN garis lapan jaminan untuk orang muda

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Yb Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional untuk Orang Muda di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memberi lapan jaminan kepada orang muda menerusi manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 akan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan tekad pemuda BN
dan bukan ditampilkan atas kegilaan mencari undi atau dirangka untuk populariti.

Sebaliknya, kata beliau ia dibina atas suara, kerisauan, keluh resah, aspirasi dan impian setiap orang muda Malaysia.

“Saya sudah berjumpa Datuk Seri Najib dengan segala jaminan ini, dengan perancangannya, dengan kosnya. Datuk Seri Najib sebut pada saya – yes (setuju). Ok. Boleh.

“KJ malam ini, kamu boleh mewakili kerajaan BN untuk memberi lapan jaminan ini kepada orang muda,” katanya.

Khairy berkata demikian dihadapan 5,000 orang muda ketika berucap melancarkan Manifesto Khas BN Untuk Orang Muda bertemakan “Jaminan Orang Muda: Bersama, Kita Hebatkan Orang Muda”, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.

Dalam majlis itu, Khairy turut melancarkan hastaq JomBN, #JomBN, sebagai manifestasi sokongan anak muda kepada BN.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, janji manifesto BN sudah disemak dan jaminan untuk dilaksana adalah dibawah keupayaan kerajaan BN.

Menurut Khairy, apa yang diperkatakan menerusi manifesto untuk orang muda bukanlah janji kosong semata-mata namun adalah perkara yang mampu dilakukan oleh kerajaan BN sekiranya memegang tampuk pemerintahan.

Katanya, walaupun BN diakui ada kesilapannya, namun parti yang ditunjangi 12 parti komponen ini sudah melakukan banyak perkara yang mendatangkan manfaat kepada anak muda, menjangkau pelbagai bidang, sektor dan kos kehidupan.

“Kami tidak sempurna. Kami ada salah silap. Tetapi lihatlah secara keseluruhannya, lebih banyak baik daripada buruknya. Saya perlukan anda untuk memberi kepercayaan kepada saya.

“Kami boleh sahaja berjanji lebih banyak lagi. Kami boleh sahaja berjanji segala-galanya percuma. Kita boleh janji bulan dan bintang tetapi tidak memberitahu anda bagaimana janji tersebut akan dibiayai.

“Saya bukan penipu, penabur janji manis yang tak sampai beberapa minggu mereka sendiri mengakui, manifestonya tidak akan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Saya hanya mahu memberi jaminan terhadap apa yang saya yakin dapat kita laksanakan 100 peratus,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, Khairy berkata Jaminan Orang Muda bukan hanya pelan untuk lima tahun akan datang, tetapi sebuah komitmen untuk orang muda bagi 30 tahun akan datang menuju program Transformasi Nasional 2050 ( TN50). – MalaysiaGazette