KUALA LUMPUR – Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh 9 April iaitu hari Rabu sebagai tarikh untuk rakyat Malaysia membuang undi tidak dipengaruhi oleh Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, BN tidak ada kena mengena dengan keputusan yang dibuat oleh SPRĀ sebaliknya ia diputuskan sendiri oleh suruhajaya tersebut.
“Ini keputusan yang dibuat oleh SPR, Kabinet tidak ada kena-mengena dengannya.
“Saya faham hari Rabu ini, walaupun pernah berlaku sebelum ini (tarikh mengundi) pada waktu bekerja tapi ia tidak luar biasa,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto Orang Muda, Jom BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.
SPR hari ini mengumumkan hari pembuangan undi bagi PRU-14 ditetapkan pada 9 Mei ini, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April.
Sejurus pengumuman dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuat kenyataan membidas suruhanjaya itu yang membuat ketetapan mengundi pada hari bekerja.
Dalam pada itu Khairy turut mengingatkan para majikan agar memberi pelepasan kepada pekerja-pekerja mereka untuk mengambil cuti bagi memberi peluang agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan, majikan yang ingkar dengan perkara itu boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya tidak membenarkan pekerja mereka untuk membuang undi.
“Saya ingin mengingatkan majikan bahawa mengikut undang-undang mereka mestilah memberi peluang kepada pekerja mereka dengan tidak menghalang mereka untuk membuang undi,” ujarnya.
Terdahulu, Khairy yang mewakili kerajaan BN memperjelaskan kepada kira-kira 5,000 orang muda berkenaan manifesto BN terhadap generasi itu sekiranya parti tersebut diberi mandat untuk terus mentadbir negara selepas PRU-14.
Sebanyak lapan perkara digariskan dalam manifresto tersebut yang kesemuanya menjurus kepada orang muda berusia di bawah 45 tahun. – MalaysiaGazette