Home Utama Pas kecam SPR mengundi hari bekerja

Pas kecam SPR mengundi hari bekerja

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (DPR) dibidas kerana menetapkan tarikh mengundi pada hari bekerja.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan itu mencabuli hal pengundi rakyat khususnya yang berada di luar kawasan, sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) menyedari penolakan pengundi terhadap parti tersebut bakal berlaku pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Pas kecam tindakan SPR membuat keputusan mengundi di hari bekerja. Pas kesal tindakan SPR menjadikan hari bekerja sebagai tarikh pembuangan undi.

“Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan rakyat malah merompak hak mengundi rakyat yang berada di luar kawasan bagi membuang undi. Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi,” katanya menerusi kenyataan media.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat yang mengundi akan terbeban kerana perlu pulang ke tempat pengundian dalam tempoh yang singkat.

“Walaupun kerajaaan boleh isytihar cuti umum pada hari berkenaan, namun ia bukan tindakan yang sepatutnya diambil kerana ia ada di pertengahan hari minggu.

“Bebanan kepada semua rakyat akan terus ada.

“Apakah kakitangan swasta akan sanggup mengambil cuti sehari sahaja untuk kembali mengundi? Ataupun mereka sanggup korbankan tiga hari untuk mengambil cuti agar bersambung dengan hari minggu untuk memudahkan perjalanan?,” soalnya.

Kata beliau, tarikh yang sesuai adalah pada 5 Mei iaitu Sabtu bersesuaian dengan hari cuti bagi memudahkan pengundi luar kawasan menjalankan tanggungjawab.

SPR hari ini mengumumkan hari pembuangan undi bagi PRU14 pada 9 Mei ini, manakala tarikh penamaan calon pada 28 April. – MalaysiaGazette