BEIJING – Pengguna-pengguna laman web mendakwa kejadian patung gergasi maharaja China pertama yang ‘menyembah bumi’ pada Jumaat lalu merupakan amaran kepada Presiden Xi Jinping yang membatalkan had tempoh jawatan presiden.
‘Mungkin Maharaja Qin ingin memberitahu kita sesuatu tentang diktator!’ kata ‘saltwai78ni’.
‘Kita patut belajar dari sejarah kita, kan?’ menurut pengguna laman web yang dikenali sebagai ‘xiasanqi’.
Bagaimanapun, beberapa komen telah ditapis dan tidak dibenarkan dipaparkan dalam talian.
Patung maharaja China pertama seberat enam tan yang didakwa terbesar di dunia ‘menyembah bumi’ semasa angin kencang melanda timur China, Jumaat lalu.
Patung Qin Shi Huang yang diletakkan di atas batu ‘terlepas’ daripada tapaknya dan ‘tersungkur’ di atas lantai kira-kira 33 kaki dari kedudukan asal.
Menurut stesen televisyen Central Chinese, patung gergasi Maharaja Qin yang setinggi 62 kaki tinggi itu jatuh di Taman Qin Shi Huang Scenic di Binzhou, Shandong pada 6 April lalu.
Kepala patung itu dikatakan telah ‘menyembah bumi’ terlebih dahulu menyebabkan manik-manik di kepala patung tembaga itu bertaburan. Patung itu terjatuh semasa angin kuat mencapai 46 batu sejak, tahap lapan pada skala Beufort.
Patung itu didirikan 13 tahun semasa taman tersebut dibuka pada 26 September 2005.
Jentera forklift dan trak kren digunakan untuk mengangkat semula patung berkenaan. – MalaysiaGazette