KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini berkata Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar UMNO kerana beliau berhasrat menjadi timbalan perdana menteri.
“Bukan saya mahu mengancam tetapi saya perlu cakap sesuatu. Hentikan main isu ini. Mari berterus terang. Sebab itu kenapa beliau memilih untuk keluar parti,” katanya merujuk kepada penafian Shafie bahawa beliau telah ‘menikam dari belakang’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memegang jawatan dalam kerajaan.
Musa berkata selepas tidak berjaya mendapatkan jawatan sebagai bakal Ketua Menteri Sabah, Shafie meninggalkan UMNO dan dengan menjalin kerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menyasarkan jawatan timbalan perdana menteri.
Beliau berkata Muhyiddin telah dipecat pada Jun 2016, bersama-sama dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, selepas selama setahun terbabit dalam perebutan kuasa dengan kepimpinan UMNO yang berakhir dengan kegagalan.
Shafie, terlebih dahulu telah membuat perjanjian dengan Muhyiddin dan Mukhriz sebelum beliau keluar parti pada bulan berikutnya, katanya.- BERNAMA