PUTRAJAYA – Sidang media Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa.
Sejak dari jam 9 pagi, puluhan agensi media dan wartawan sudah mula berkampung di Menara SPR bagi mendapatkan ruang untuk membuat liputan mengenai pengumuman tarikh bersejarah itu.
Malah tinjauan MalaysiaGazette mendapati Menara SPR dikawal rapi oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di setiap penjuru bangunan daripada dimasuk individu yang tidak diingini.
Petugas media yang ingin memasuki premis ini didapati terpaksa menjalani dua sekatan di bahagian ruang legar dan tingkat satu bangunan dengan mempamerkan pas media masing-masing.
SPR dijangka membuat pengumuman tarikh bagi hari pembuangan undi dan tarikh penamaan calon bagi PRU14.
Sebelum itu satu Mesyuarat Khas bersempena PRU-14 akan mengambil tempat dengan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah di bilik Mesyuarat Utama, Menara SPR.
Mesyuarat rata-rata bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRU14 seperti Writ Pilihan Raya , Hari Penamaan Calon, hari mengundi awal dan hari mengundi. – MalaysiaGazette