KUALA LUMPUR – Bekas anggota-anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganjurkan siri jelajah gerakan menolak Tun Dr Mahathir Mohamad mulai minggu hadapan.
Bekas pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, gerakan itu akan melakukan kempen bagi memberi penerangan kepada masyarakat berhubung peribadi bekas perdana menteri itu.
Katanya, gerakan tersebut akan diketuai oleh beliau dan seramai 1,000 pengikut bekas anggota PPBM di seluruh negara akan terlibat.
“Gerakan ini akan bergerak ke seluruh negara dengan mengadakan ceramah-ceramah agar rakyat tahu siapa sebenarnya Tun Dr Mahathir Mohamad ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu bekas exco Armada
Wahazir wahabi, Syazwan Zainal dan Taufiq Abbas.
Menurut Kamarulzaman, gerakan tersebut tidak didalangi oleh mana-mana pihak dan ia merupakan inisiatif bekas anggota PPBM yang tidak mahu melihat negara ini dihuruharakan oleh Dr Mahathir lagi.
Katanya, langkah tersebut diambil kerana mereka melihat pengerusi PPBM itu telah menjadi seorang yang oportunis apabila mahu mempunyai jawatan dan pengaruh dalam parti yang telah dibubar oleh Pejabat Pendafttar Pertubuhan (ROS), meskipun pada asalnya ia tidak jadi begitu.
Mengulas mengenai pembubaran sementara PPBM, Kamarulzaman menggesa agar pihak-pihak tertentu terutamanya pembangkang agar tidak sesekali menghambur kata-kata kesat atau menabur kebencian masyarakat terhadap badan itu yang telah melaksanakan tanggungjawabnya secara telus.
Ujarnya, apa yang berlaku sebenarnya adalah atas kesilapan dan kesalahan parti itu sendiri dan mereka tidak sewajarnya menuding jari menyalahkan pihak lain terutama ROS dalam hal itu.
Beliau turut menyangkal dakwaan PPBM dan pembangkang bahawa keputusan yang dibuat oleh ROS berhubung perkara tersebut didorong oleh Barisan Nasional.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada ROS kerana telah membuat keputusan tersebut.
“Memang kami sudah menjangka ada suara-suara sumbang daripada mereka. Menuduh pihak lain dalam hal ini adalah tidak gentleman,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan kesediaan kepada parti-parti politik seperti PAS dan UMNO untuk berada di pentas mereka sepanjang kempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi tujuan memanfaatkan siri jelajah berkenaan. – MalaysiaGazette
Kamarul tak ada prinsip perjuangan. Hanya nakkan jawatan bukan menegakkan kebenaran mendedahkan isu 1mdb.