Home Nasional Cubaan seludup dadah guna kereta mewah RM3.85 juta digagalkan

Cubaan seludup dadah guna kereta mewah RM3.85 juta digagalkan

BUKIT KAYU HITAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM3.85 juta yang disembunyikan di bahagian bonet sebuah kereta mewah hasil pemeriksaan teliti pegawai agensi berkenaan semasa di pondok pemeriksaan.

Pemandu kereta Mercedes Benz berusia 47 tahun pada awalnya memberitahu pegawai kastam bahawa dia tidak membawa sebarang muatan, bagaimanapun hasil pemeriksaan dua pegawai mendapati bonet belakang tersebut diubahsuai bagi menyembunyikan dadah tersebut.

Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 70 bungkusan dadah seberat 70 kilogram yang mengandungi dadah jenis methamphetamine.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar tahun ini di sempadan Bukit Kayu Hitam dan memuji tindakan cekap kedua-dua pegawai tersebut.

“Saya ucapkan tahniah kepada kedua-dua pegawai kastam atas integriti dan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas mereka,” kata beliau semasa sidang media di ICQS Bukit Kayu Hitam hari ini.

Kenderaan dan bungkusan tersebut telah disita JKDM.

Berikutan itu, tertuduh ditahan reman selama 14 hari bermula 10 April sehingga 23 April atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Dalam pada itu, Subromaniam memberitahu, siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan sekiranya suspek memiliki aset daripada aktiviti haram, pihaknya akan membeku dan merampasnya daripada individu tersebut. – MalaysiaGazette