KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 3.0 peratus pada bulan Februari 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan pada bulan Februari 2018 disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks pembuatan (4.7%) dan indeks elektrik (2.8%).
Manakala indeks perlombongan susut sebanyak 1.6 peratus.
IPP pada bulan Januari 2018 disemak semula kepada 5.4 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan.
Berasaskan tahun ke tahun, output sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.7 peratus pada bulan Februari 2018 selepas mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus pada Januari 2018.
Sub-sektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Februari 2018 adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.0%); produk peralatan elektrik dan elektronik (5.4%); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (5.0%).
Output sektor perlombongan mencatatkan penyusutan sebanyak 1.6 peratus pada bulan Februari 2018 (Januari 2018 : 1.5%).
Penurunan ini disebabkan oleh penyusutan dalam indeks gas asli (-3.5%). Manakala, indeks minyak mentah meningkat sebanyak 0.5 peratus.
Output sektor elektrik meningkat sebanyak 2.8 peratus pada bulan Februari 2018 berasaskan tahun ke tahun. – MalaysiaGazette