KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri SK Devamany sedia menjadi calon di mana-mana kawasan seandainya diberi kepercayaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei depan.
SK Devamany yang juga merupakan Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak sebelum ini begitu optimis dengan apa jua keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam berhubung siapa akan bertanding.
Jelasnya, setiap keputusan yang dibuat tentang seseorang calon adalah keputusan muktamad dan akur sekiranya diminta bertanding di mana-mana kerusi.
“Soal (pemilihan) calon itu bukanlah hak kita, soal calon adalah hak muktamad Presiden MIC dan Pengerusi BN.
“Dengan izin Tuhan, sekiranya mereka mahu saya bertanding, sudah tentu saya bersedia untuk bertanding pada PRU kali. Saya tiada masalah untuk bertanding di mana-mana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Forum dan Ekspo ‘Asiawater 2018’ anjuran UBM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula semalam sehingga esok.
Seramai 19,000 anggota perwakilan termasuk dari 57 buah negara menghadiri Asiawater 2018 yang bertemakan ‘Perkongsian Ke Arah Pertumbuhan dan Masa Depan Lestari Air’.
Jelas SK Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketika ini kepimpinan tertinggi BN termasuk parti komponen UMNO, MCA, MIC, MyPPP sedang berbincang mengenai calon dan kerusi yang akan dipertandingkan.
“Dalam masa terdekat, kita akan tahu tentang keputusan ini. Sabarlah. Kita tunggu dan saya amat positif tentang hala tuju kita pada PRU kali ini,” tegasnya.
Desas desus menyatakan SK Devamany berkemungkinan besar akan bertanding di Sungai Siput yang satu ketika dulu merupakan kubu kuat MIC.
Pada PRU 13, Devamany bertanding di kerusi Sungai Siput, Perak manum kalah kepada Michael Jeyakumar.
Devamany menang di Cameron Highland iaitu pada PRU 11 dan 12.
Jelasnya, kini kawasan itu tidak lagi berpihak kepada parti pembangkang. – MalaysiaGazette