BANGI – Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini mula mempengaruhi pengundi luar bandar disebabkan pendekatan yang digunakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, ini kerana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menggunakan bahasa mudah ketika berceramah mengenai isu kontroversi itu.
Beliau menjelaskan, ia berbeza dengan cara penerangan yang dibuat pemimpin pembangkang lain yang terlalu mengikut pendirian parti masing-masing.
“Isu 1MDB kini agak mempengaruhi pengundi luar bandar kerana Mahathir mula turun ke kawasan itu. Beliau guna bahasa mudah di luar bandar dan sangat dipercayai selain faktor pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun
“Bila Rafizi, Lim Kit Siang, Mat Sabu terang sebelum ini, orang kampung tidak faham ‘bahasa’ politik parti mereka.
“Rafizi terlalu teknikal dan asyik bercerita. Kajian saya di Gombak tahun lalu, 65 peratus pengundi pun tidak faham isu 1MDB,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Bicara Persada ke-43 bertajuk PRU14: Malaysia Memilih di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Pensyarah Bahagian Politik dan Dasar Awam, Sekolah Perdana UTM itu menjadi panel pada program anjuran Jabatan Canselori dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Sementara itu, Mazlan yang juga pemerhati politik berkata, rakyat kini amat terkesan dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan isu harga barang naik.
Jelas beliau, kedua-dua isu itu merupakan isu besar pada hari ini dan kerajaan perlu menanganinya segera.
“Saya berjumpa dengan responden di luar bandar yang susah hendak berubah parti mengeluh barang mahal. Kedai aksesori dan baju tidak laku. Kadang-kadang satu hari tidak ada pelanggan.
“Namun Barisan Nasional (BN) tutup kelemahan itu dengan memberi bantuan kepada masyarakat luar bandar dan mereka masih setia. Petani dan nelayan ada bantuan dan cukup makan hasil empat kajian saya sejak tahun 2005 hingga tahun 2017.
“Cuma mutakhir ini lonjakan kepada PH meningkat kerana faktor Mahathir. Ceramah Pas di Terengganu dan Kelantan pun kurang sambutan. PH lebih baik daripada sebelum ini bila ceramah melibatkan Mahathir,” katanya. – MalaysiaGazette