Home Utama Aneh bila ‘Bapa Tol’ sendiri mahu hapuskan tol

Aneh bila ‘Bapa Tol’ sendiri mahu hapuskan tol

Gambar hiasan: Lebuhraya bertol

LANGKAWI – Janji pembangkang blok Pakatan Harapan yang mahu memansuhkan tol dalam manifesto mereka disifatkan sebagai aneh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri adalah ‘Bapa Tol’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia berbeza semasa era pentadbirannya banyak tol yang dimansuhkan atas hasil usaha kerajaan tetapi semasa zaman pentadbiran Mahathir lebih banyak tol yang dibuka sehingga membebankan rakyat.

“Kalau pembangkang kata nak mansuh semua tol, tapi ‘Bapa Tol’ zaman dia yang buat tol bukan zaman saya.

“Zaman saya kurangkan tol, yang aneh pula dia nak pula nak mansuhkan tol,” kata beliau semasa Majlis Mesra Rakyat di Pantai Chenang hari ini.

Dalam manifesto yang diumumkan 9 Mac lalu, blok pembangkang  itu menjanjikan untuk memansuhkan kutipan tol jika memenangi PRU-14.

Beliau juga menyifatkan janji-janji pembangkang tidak masuk akal kerana pemansuhan tersebut akan melibatkan belanja sebanyak RM380 bilion dan bakal menjejaskan kedudukan ekonomi negara.

“RM380 bilion jika nak mansuh tol, mana dapat duit itu… tak masuk akal, tak rasional sebab itu satu pun agensi penarafan yang memberikan penilaian positif kepada manifesto pembangkang malah mereka kata manifesto itu akan menjejaskan ekonomi negara,” jelasnya lagi.

Najib semasa pembentangan Bajet 2018 membuat pengumuman memansuhkan empat tol, Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Bukit Kayu Hitam bertujuan mengurangkan beban rakyat.

Langkah tersebut bagi membuktikan komitmen kerajaan dalam mengurangksn tol di negara.

Dalam pada itu, Najib berkata, manifesto pembangkang adalah sesuatu yang mungkin tidak dilaksanakan malahan badan antarabangsa juga menyifatkan ia sebagai suatu yang tidak realistik.

“Badan antarabangsa kata ia mungkin tidak dapat dilaksanakan… manifesto BN depa kata boleh dilaksanakan dan ini bezanya antara kita dengan mereka,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette