KUALA LUMPUR- Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada paras 5.4 peratus pada 2018 berbanding tahun sebelumnya disokong oleh pengukuhan penggunaan swasta, kata Bank Dunia.
Dalam Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia menjangkakan penyusuran pelaburan awam dan formasi modal tetap kasar akan menyebabkan pertumbuhan Malaysia dipacu oleh perbelanjaan sektor modal swasta.
Katanya, perbelanjaan sektor modal swasta dijangka kekal dipacu oleh projek-projek infrastruktur berterusan di samping pelaburan modal dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan.
Pengukuhan prestasi eksport negara juga dijangka berterusan pada separuh pertama 2018 sejajar dengan pusingan pemulihan perdagangan global walaupun ia berada di paras yang rendah sedikit berbanding tahun sebelumnya.
“Melihat kehadapan, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020 dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 sehingga 2024.
Menurut Bank Dunia, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal teguh dalam tempoh terdekat walaupun dalam kadar sederhana berbanding 2017 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.9 peratus.
Cuma menurut Bank Dunia, antara risiko yang perlu dihadapi Malaysia adalah berkaitan perkembangan ekonomi global. -MalaysiaGazette