Home Nasional BR1M bukan senjata politik, ia untuk agih kekayaan

BR1M bukan senjata politik, ia untuk agih kekayaan

Datuk Seri Najib Razak

LANGKAWI – Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan suatu senjata politik tapi sebaliknya adalah berasaskan prinsip pengagihan kekayaan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semasa pembentangan Akujanji Manifesto Barisan Nasional (BN) lalu, janji untuk meningkatkan jumlah pemberian BR1M paling mendapat sambutan daripada rakyat dan menegaskan kemampuan kerajaan meneruskan program tersebut adalah kerana kecekapan kerajaan menguruskan ekonomi negara.

“Yang banyak dapat sambutan adalah BR1M ditambah 100 peratus, BR1M itu tambah kerana kecekapan kita kerajaan BN menguruskan ekonomi negara… bila ekonomi kita berkembang, bila dasar kita bawa kadar pertumbuhan yang tinggi.

“Kita buat BR1M kerana kita nak tolong rakyat, semua dapat… semua dapat, sokong dapat tak sokong pun dapat kerana ini bukan senjata politik tapi ini prinsip pengagihan kekayaan.

“Salah ke bagi kepada rakyat supaya rakyat lega?” kata beliau semasa Majlis Bersama Rakyat di Pantai Chenang hari ini.

Pada 7 April lalu, Najib mengumumkan agihan BR1M bagi tahun ini akan dinaikkan sehingga sekali ganda.

Bagi isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan, yang sudah mendapat agihan BR1M sebanyak RM400 Feb lalu, akan mendapat dua agihan seterusnya pada Jun dan Ogos masing-masing RM800.

Sementara bagi isi rumah dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, agihan pada Jun dan Ogos itu adalah masing-masing sebanyak RM600 berbanding RM300 sebelum ini.

Bagi golongan muda dengan gaji bulanan di bawah RM2,000 yang sudah menerima RM150 pada Februari lalu, jumlah agihan BR1M seterusnya pada Jun adalah sebanyak RM450.

Najib turut mengumumkan kategori baru penerima BR1M, iaitu bagi isi rumah dengan pendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang sebelum ini tidak layak menerima bantuan.

Jelas Najib, kekuatan dan kedudukan ekonomi negara yang kukuh menyumbang kepada peningkatan hasil dana negara yang kemudiaannya ia diagihkan kepada rakyat.

“Pemberian tersebut memerlukan dana dan hasil yang banyak.

“Kita mesti ada ekonomi yang selalu berkembang memacu ekonomi negara bermakna kita peroleh lebih banyak hasil dan dana.

“Bila hasil dan dana banyak baharu boleh kita agihkan kepada rakyat, baharu kita boleh lonjak kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib menggesa rakyat supaya tidak membuat keputusan yang boleh menjejaskan kemakmuran dan merugikan negara pada masa depan.

“Kalau kita buat sesuatu yang boleh jejaskan kemakmuran ekonomi sama ada pada masa ini atau masa akan datang yang akan terima kesan buruk adalah rakyat nanti,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette