Home Seni Hidup Konsert Rock Legend 2018 tangguh kerana PRU14

Konsert Rock Legend 2018 tangguh kerana PRU14

Konsert Rock Legend 2018 membabitkan dua kumpulan terkenal, May dan Prime Domestic.

KUALA LUMPUR – Konsert Rock Legend 2018 membabitkan dua kumpulan terkenal, May dan Prime Domestic, yang sepatutnya berlangsung di Serdang pada 5 Mei depan ditangguhkan.

Menurut satu kenyataan, penganjur acara terbabit, Grandstage Sdn. Bhd., tarikh baru konsert berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

 “Pihak penganjur mengambil langkah ini bagi menghormati peminat yang ingin melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ditetapkan pada 9 Mei depan.

“Tarikh penganjuran konsert yang hanya beberapa hari sebelum tarikh mengundi dijangka sedikit sebanyak akan mengganggu perancangan peminat yang sebahagiannya mungkin perlu pulang ke kampung halaman untuk menjalankan tanggungjawab membuang undi.

“Oleh itu, pihak penganjur berasakan langkah menangguhkan konsert ini adalah wajar setelah mengambil kira kepentingan semua pihak,” kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu, pegawai promosi acara terbabit, Rouslan Mokhtar, ketika dihubungi berkata, peminat yang sudah pun membeli tiket masih boleh menggunakannya apabila konsert dua kumpulan rock itu diadakan kelak.

Bagi peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh berbuat demikian dengan mengikuti laman sosial Zhardreamstage dan Prime Domestic atau melayari www.ilassotickets.com serta www.dreamstageconcert.com. – MalaysiaGazette