SERDANG – Pemandu teksi layak untuk menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kata beliau, ia merupakan bantuan kebajikan kepada pemandu teksi yang bekerja lebih masa setiap hari.
“Kita sedar kehidupan sebagai pemandu teksi bukan senang. Kadang kala terpaksa kerja lebih 12 jam sehari untuk cari makan. Oleh itu sebagai yang prihatin dengan pemberian K,ad Bantuan Teksi 1Malaysia dan BR1M digarap sedikit sebanyak pemandu teksi akan terbela,” katanya semasa majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia hari ini.
Tambah beliau, pemberian BR1M dilakukan menerusi keluhan daripada pemandu teksi yang tidak berjaya dalam permohonan mereka kerana berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Najib selain itu menyuarakan harapan agar dapat meneruskan kepimpinan Barisan Na sional (BN), sekaligus terus membantu seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya harap kita akan dapat bertemu lagi, selepas ini mungkin bantuan itu akan dikaji dari semasa ke semasa kalau ada rezeki boleh ditambah,” ujarnya.
Terdahulu lebih 5,000 pemandu teksi dari seluruh negara yang hadir di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) mendengar amanat khas Perdana Menteri. – MalaysiaGazette