WASHINGTON – Presiden Donald Trump telah meluluskan serangan tentera Amerika Syarikat ke atas lokasi senjata kimia Syria.
Serangan itu turut disertai sekutunya, United Kingdom dan Perancis.
Keputusan itu dibuat susulan serangan kimia di bandar Douma, Syria pada minggu lalu.
“Gabungan operasi oleh tentera Perancis dan United Kingdom sedang dalam perjalanan,” kata Trump.
Sementara itu, beberapa letupan kedengaran di Damascus.
Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May mengesahkan pembabitan Britain dalam serangan tersebut sambil menyifakan ia tindakan tentera itu tidak ada kena mengena dengan perubahan regim.
Trump menambah, serangan itu diperintahkan untuk mensasarkan keupayaan senjata kimia milik kerajaan Syria.
Matlamat serangan itu jelas untuk menangani pengeluaran, penyebaran dan penggunaan senjata kimia.
“Ia bukan tindakan ke atas lelaki itu, sebaliknya ke atas penjenayah besar,” katanya yang merujuk kepada Presiden Bashar al-Assad.
Bagaimanapun, Syria telah menafikan bersama Rusia melakukan serangan kimia dan memberi amaran serangan ketenteraan oleh barat akan menyebabkan meletusnya perang.
Pegawai Amerika berkata, peluru berpandu luncur Tomahawk akan digunakan bagi menangani serangan senjata kimia di beberapa lokasi di Syria.
Beberapa saksi juga memaklumkan sekurang-kurangnya enam letupan kedengaran di ibu negara itu. – MalaysiaGazette