Home Politik Batal ECRL: Tun M masih mahu diskriminasi Kelantan

Batal ECRL: Tun M masih mahu diskriminasi Kelantan

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki bercakap pada sesi dialog bertajuk 'Agenda Ekonomi Bumiputera' di Talent Lounge, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 13 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Niat Pakatan Harapan (PH) untuk membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan satu lagi diskriminasi yang akan dilakukan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, kerajaan Pas yang memerintah Kelantan telah banyak menerima diskriminasi oleh Mahathir semasa pemerintahannya dalam Barisan Nasional (BN).

“Ini salah satu contoh diskriminasi dan sabotaj ekonomi yang akan merugikan masyarakat Melayu khususnya di Pantai Timur.

“Pada zaman Tun Mahahtir banyak isu diskriminasi sewaktu Pas memerintah Terengganu dan Kelantan. Jadi itu antara perkara yang kita hadapi sewaktu zaman Tun Mahahtir,” katanya dalam satu majlis semalam.

Gabungan pembangkang pada 1 April lalu nekad akan menghentikan ECRL sekiranya menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Mahathir berkata, ini kerana projek yang membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan bernilai RM55 billion itu merupakan satu pembaziran.

“Kalau difikirkan secara logik, siapa mahu menghabiskan masa 14 jam dalam kereta api dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor berbanding kira-kira 30 minit dengan menggunakan penerbangan.

“Kita akan mengkaji semula projek ECRL sama ada perlu atau tidak. Jika tidak (diperlukan), henti setakat yang dah buat sahaja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Bicara Bersama Tun M Siri2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda anjuran Akademi Siasah Anak Muda (Aksi Muda).

Menjawab perkara itu, Zuhdi berkata, projek berkenaan sepatutnya dibuat pada zaman pemerintahan Mahahtir lagi kerana jelas pembinaannya akan menjimatkan wang rakyat.

“Kalau dibuat zaman beliau, ia mungkin akan memberikan modal dan kos pembinaan yang lebih rendah pada waktu itu.

“Sekarang kos pembinaan adalah dalam RM50 bilion dengan kita mengambil kira teknologi China dalam pembinaan rel keretapi adalah yang paling terkini dalam dunia,” katanya.

ECRL merupakan projek transformasi yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di wilayah Pantai Timur apabila siap pada 2024. – MalaysiaGazette