Home Politik Manifesto BN jadikan Johor negeri berdaya saing

Manifesto BN jadikan Johor negeri berdaya saing

Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Intipati yang terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Johor mampu menjadikan negeri itu sebagai sebuah negeri yang berdaya saing.

Malah, menerusi akujanji dalam manifesto berkenaan, rakyat Johor akan dapat menikmati limpahan daripada apa yang dijanjikan dan ia bukanlah satu janji kosong kata Ahli Parlimen (BN) Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Apabila banyak FDI (pelaburan langsung asing) masuk ke Johor kita mestilah mempunyai pekerja mahir dan perlu berikan mereka latihan.

“Bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti mereka akan diberi insentif. Malah, jika mereka masuk ke universiti terkemuka di dunia sekalipun akan diberi bantuan,” katanya.

Tambah beliau, menerusi FDI itu kerajaan BN akan menagih semula kepada rakyat terutamanya kepada golongan yang dahagakan bantuan daripada kerajaan.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, manifesto cemerlang yang diumumkan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu pastinya akan dapat menambat hati pemuda dalam kalangan masyarakat Cina yang sememangnya mengharapkan perhatian kerajaan.

Katanya, pemuda Cina tidak mungkin dapat diracuni oleh mana-mana pihak terutamanya pembangkang kerana rata-rata mereka sudah celik dan bijak dalam memilih kerajaan yang akan membela nasib mereka.

“Saya telah kerahkan semua jentera MCA untuk menangkis dakyah-dakyah terutama yang dibuat oleh pembangkang.

“Kita menceritakan keunikan tentang bangsa Johor bagaimana generasi terdahulu memikirkan tentang keadaan pada hari ini.

“Apa yang lebih penting ialah semangat bersatu padu dan saya lihat kerajaan negeri pada masa ini sangat bersifat terbuka,” ujarnya. – MalaysiaGazette