JOHOR BAHRU – Kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor tidak pernah meminggirkan semua peringkat golongan dalam masyarakat Felda sebaliknya, tumpuan sentiasa diberikan menerusi pelbagai aspek.
Ahli Parlimen (BN) Tebrau, Tan Sri Shahrir Samad berkata, perkara itu jelas terbukti apabila perumahan generasi kedua Felda turut digariskan sebagai keutamaan di dalam akujanji BN manifesto yang dilancarkan hari ini.
“Kerajaan negeri Johor menerusi kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memang mengaggapkan Felda itu sebahagian daripada negeri Johor.
“Beliau tidak menyerahkan urusan Felda kepada kerajaan Persekutuan sebaliknya, kerajaan negeri turut mengambil tahu,” katanya ketika di temui pada Majlis Pelancaran Manifesto BN Johor di sini hari ini.
Menurut Shahrir, di dalam manifesto itu juga, kerajaan BN berjanji akan memberikan kemudahan kepada anak-anak Felda untuk memiliki tanah lot untuk mendirikan kediaman.
Katanya, tidak ada halangan yang menyusahkan kepada anak-anak Felda untuk mereka mendapatkan hak dan itu sememangnya komitmen yang baik ditunjukkan oleh kerajaan BN.
“Dari segi pendekatan juga kita dapat lihat bahawa kerajaan negeri meletakkan bahawa orang Felda juga merupakan orang Johor,” ujarnya. – MalaysiaGazette