Home Utama Patutnya kedaulatan Malaysia tergadai kepada Singapura, Jepun

Patutnya kedaulatan Malaysia tergadai kepada Singapura, Jepun

KUALA LUMPUR – China bukanlah pelabur tertinggi di Malaysia kerana pelaburan negara itu hanya mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia.

Jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia setakat 2017 adalah bernilai RM65.0 billion. Ini lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 billion) dan Jepun (RM71.6 billion).

Ia bermakna, jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun.

Pengarah Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kalau mengikut logik pembangkang sepatutnya kedaulatan Malaysia terjual kepada Singapura dan Jepun dahulu kerana jumlah pelaburan kedua-dua negara itu lebih besar berbanding China.

Beliau berkata demikian berikutan semakin banyak propaganda disebarkan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menakutkan rakyat Malaysia.

“Kisah Barisan Nasional (BN) menjual kedaulatan negara kepada China kini tersebar semula di media sosial.

“Propaganda palsu ini tidak berlandaskan fakta dan angka yang sebenarnya tetapi berasaskan fitnah jahat untuk mencipta persepsi negatif kepada Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas Abdul Rahman, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, sudah tentu Malaysia akan menerima pelaburan dari luar negara dan tidak terhad kepada China sahaja.

Malaysia juga menerima pelaburan dari negara-negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan juga Amerika Syarikat.

Jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 adalah RM565 billion.

Baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur AS$7 bilion (RM27 bilion) di dalam Projek RAPID Pengerang.

Lantaran itu, Abdul Rahman meminta rakyat Malaysia berhati-hati sebelum percaya dan menyebarkan propaganda seperti ini.

“Berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang boleh menjejaskan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan kita sendiri.

“Sekiranya pelaburan masuk ke Malaysia terjejas, tidak banyak pekerjaan boleh dicipta untuk rakyat Malaysia seterusnya mengurangkan peluang untuk menjana pendapatan,” tambahnya.

Abdul Rahman berkata, pembangkang akan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa termasuklah mensabotaj ekonomi negara dan rakyat.

Tidak ada sekelumit pun kedaulatan negara yang akan BN pajakkan kepada mana-mana negara asing, tegasnya. – MalaysiaGazette