CHANGLUN – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berpuas hati dengan larangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan gabungan pembangkang itu menggunakan gambarnya semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kali ini.
Pengerusi Pakatan Harapan itu mempertikaikan tindakan badan pengendali pilihan raya tersebut yang dilihat terlalu takut sangat dengan beliau sehingga gambar pun tidak dibenarkan.
“Kononnya tak boleh tunjuk gambar saya, dia orang ni pakai baju gambar saya, jadi dia nanti rampas baju tau.
“Tak boleh tunjuk gambar saya, apa yang dia takut sangat, apa saya ni muka macam jin ke,” kata beliau semasa berceramah di Felda Bukit Tangga semalam.
Mahathir juga mendakwa tindakan pengharaman ke atas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) kerana pihak kerajaan Barisan Nasional mahu menghapuskan parti lawan dan memenangi pilihan raya tanpa bertanding.
“Dia nak hapuskan semua parti lawan supaya boleh menang tanpa bertanding… tetapi dia tidak akan menang dan dia akan ada pertandingan daripada parti lawan yang sudah bersatu
“Kalau pun kita tak dapat surat daripada ROS tetapi hati kita bersatu, sebab itu dimana-mana kita pergi pun, kita akan guna simbol parti Keadilan ini, logonya dan segalanya, surat menyurat pun akan guna daripada parti ini,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir menggesa supaya penyokong PPBM tidak menutup pejabat dan bilik gerakan mereka hanya pengharaman selama 30 hari yang diputuskan oleh RoS tersebut dan terus bergerak berkempen seperti biasa tetapi menggunakan logo PKR.
“Adalah orang kita apabila ROS kata kita diharamkan mereka pun tutup pejabat, takpa tak usah tutup lah buka lah.
“Berapa banyak pejabat kita ada, dia nak mai tutup macam mana, dia mai sini kita bubuh bendera depan…dia tanya ini apa bilik gerakan, ini Keadilan lah. Jadi tak payah tutup, kita bergerak juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette