KAJANG – Membuat tinjauan tanpa memberitahu menteri dan pemimpin setempat mampu memberikan gambaran sebenar masalah rakyat kepada pengetahuan saya sebagai Perdana Menteri, kata Datuk Seri Najib Razak.
“Walkabout’ yang dilakukannya pada 2015 lalu telah memberikan gambaran sebenar kepada Najib tentang kesukaran dan dilema yang dihadapi pesakit di Hospital Kajang.
“Saya tidak beritahu kepada semua menteri untuk lalukan walkabout ke Hospital Kajang sebab itulah Datuk Seri S. Subra pun tidak tahu, malah Tan Sri Noh Omar pun saya tidak beritahu.
“Ini kerana tujuan saya ialah melihat keadaan sebenar dan tidak beri notis awal. Kadang-kadang beri notis tiga empat jam sahaja.
“Tiba-tiba saya sudah tercegat di hadapan hospital. Bila saya buat seperti ini saya dapat lihat keadaan sebenar bukan keadaan susun atur untuk PM hadir. Tetapi keadaan yang dihadapi sehari oleh rakyat dan memang benar Hospital Kajang ini sesak dengan pesakit di mana keadaan uzur dan usia sejak 1889,” katanya dalam ucapan Majlis pecah tanah projek naiktaraf Hospital Kajang bagi mendirikan kompleks wanita dan kanak-kanak di Sungai Jelok, Kajang hari ini.
Turut hadir, Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam, dan Pengerusi BN Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar.
Jelas Najib, dengan tinjauan yang tidak dirancang itu merealisasikan program naiktaraf kompleks wanita dan kanak-kanak yang menelan belanja RM304.5 juta.
Perkara itu dibentangkan Najib pada perbentangan Bajet 2016.
“Dalam bajet yang saya buat 2016, saya telah umumkan bahawa hospital Kajang ini akan dinaikkan taraf. Lebih RM300 juta disediakan diberikan kepada syarikat NR, Tidak ada kena mengena dengan saya. Peruntukan sebanyak RM304.5 juta dan akan siap dalam masa tiga tahun,” katanya di hadapan lebih 1,000 warga Kajang.
Secara umumnya, Kompleks Wanita dan Kanak-kanak yang akan dibina pada keluasan 543 ekar ini mempunyai 272 katil yang meliputi wad wanita, kanak-kanak, pediatrik, bilik bersalin dan bilik bedah. – MalaysiaGazette