KUALA LUMPUR – Penyanyi rock terkenal, Amy Search membuktikan usia 60 tahun bukan halangan untuk ‘menawan’ Kem Pangkalan Annapurna (ABC), Nepal yang berketinggian 4,130 meter dari aras laut semalam.
Menerusi perkongsian di Instagram, Amy memuat naik gambar bersama isteri, Norhasniza Hassan atau Nourish yang lengkap berbaju kurung berwarna hijau bagi meraikan kejayaan itu.
Beberapa hari lalu, Amy memuat naik video di laman sosial itu memaklumkan mereka sudah berada di Jhinu Nanda sebelum mendaki ke Chomprong.
Sementara itu, pengikut Amy di Instagram meluahkan rasa kagum dan bangga dengan penyanyi itu yang mampu mendaki gunung berkenaan pada usianya lebih setengah abad.
Malah ramai menjadikan ia sebagai inspirasi untuk berbuat perkara sama selain mencapai impian yang dirasakan tidak mampu dilaksanakan.
Sebelum ini, anak Amy, aktres Nabila Huda turut berjaya menawan ABC dalam ekspedisi pada Oktober tahun lalu. – MalaysiaGazette