LANGKAWI – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan mampu berbuat apa-apa untuk meneruskan pembangunan yang menguntungkan rakyat di Langkawi sekiranya beliau menang PRU-14.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, bekas perdana menteri itu tidak mempunyai asas kukuh seperti kerajaan yang dibentuk BN selama ini yang sebenarnya merupakan kuasa yang membolehkan pembangunan dilaksanakan di pulau bebas cukai ini.
“Kalau sudah menjadi wakil rakyat pembangkang, bagaimana nak menolong?
“Menang pun untung dia sahaja. Dia yang dapat gaji yang dapat elaun (sebagai Ahli Parlimen),” katanya selepas merasmikan Program Pakat Mai Langkawi anjurain Tourism Malaysia di Pantai Tanjung Rhu, di sini malam tadi.
Mohamed Nazri berkata demikian mengulas keputusan Pakatan Harapan untuk meletakkan Mahathir sebagai calon mereka di kerusi Parlimen Langkawi dalam PRU-14.
Mohamed Nazri berkata, keputusan ini juga membuktikan bahawa Tun Mahathir memungkiri pesanannya sendiri yang tidak mahu masyarakat Melayu yang menjadi kumpulan majoriti di Langkawi berpecah belah. – BERNAMA