Home Nasional Didera kerana tidak pandai belajar?

Didera kerana tidak pandai belajar?

ISKANDAR PUTERI – Hanya kerana degil dan tidak pandai belajar, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dirotan dan ditampar bapa tirinya disyaki sejak Oktober tahun lalu.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak itu disedari pengasuh dan guru tadikanya yang mendapati kesan rotan dan lebam akibat ditampar di muka dan di bibir mangsa.

Berikutan itu, mereka masing-masing membuat laporan pada kelmarin dan semalam sebelum suspek yang berusia 27 tahun di tahan polis di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai pada 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang tinggal bersama ibu dan suspek, mendakwa dirotan dan ditampar bapa tirinya.

“Kita dah tahan suspek dan kita juga merampas rotan berukuran 74 inci dipercayai digunakan dalam kes tersebut,” katanya.

Tambahnya, siasatan awal juga mendapati, suspek yang berkawin dengan ibu mangsa berusia 28 tahun mengaku menampar dan merotan mangsa sejak Oktober tahun laki kerana mendakwa mangsa degil dan tidak pandai belajar.

Beliau berkata, ibu mangsa yang merupakan pembantu klinik mendakwa tidak tahu mengenai perbuatan suspek.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 April ini,” katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette.

+ posts