Home Dunia Enjin pesawat meletup, seorang penumpang maut

Enjin pesawat meletup, seorang penumpang maut

Enjin pesawat Southwest Airlines Flight 1380 yang meletup ketika dalam penerbangan dari New York ke Dallas. foto Bloomberg

PHILADELPHIA – Seorang terbunuh dan tujuh yang lain memerlukan rawatan perubatan selepas enjin pesawat penumpang Amerika Syarikat meletup di udara.

Ketika kejadian pesawat Boeing 737-700 dalam penerbangan dari Lapangan Terbang La Guardia New York ke Dallas, Texas dengan 143 orang penumpang dan lima anak kapal.

Southwest Airlines Flight 1380 terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Philadelphia selepas tingkap, sayap dan fiuslajnya rosak dalam kejadian itu.

Dalam rakaman kawalan lalu lintas udara, salah seorang daripada juruterbang boleh didengar berkata: “Ada lubang dan seseorang telah terkeluar”.

Beberapa saksi berkata, seorang wanita telah disedut keluar dari tingkap selepas tingkap berkenaan ditembusi oleh serpihan dari enjin.

 

Bagaimanapun, wanita itu dapat ditarik semula oleh penumpang-penumpang lain.

NBC News yang mendedahkan rakaman kawalan trafik udara terdengar suara juruterbang Tammie Jo Shults berkata: “Satu bahagian pesawat yang hiang, jadi kami perlu bergerak perlahan”

Ditanya sama ada pesawat itu terbakar, juruterbang berkata tidak ada kecuali pesawat berlubang dan seorang telah terkeluar.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat telah membuka kertas siasatan. – MalaysiaGazette