KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta para pekerja supaya memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang boleh menjamin kebajikan para pekerja.
Setiausaha Agungnya, J Solomon mendakwa, beberapa janji yang telah dibuat oleh parti-parti politik menerusi manifesto pilihanraya mereka tidak memberi penyelesaian signifikan yang akan menaikkan taraf kesejahteraan dan kemakmuran.
Dengan itu, MTUC katanya melancarkan Tuntutan dan Harapan Pekerja (PRU14 Malaysia) yang dianggap sebagai manifesto dan perlu dijadikan peringatan kepada semua calon politik supaya tidak mengabaikan keperluan pekerja.
Antara yang dituntut oleh MTUC adalah penetapan gaji minimum sebanyak RM3,500 untuk semua graduan, pemberian Elaun Kos Sara Hidup (Cola) minimum sebanyak RM300 kepada semua pekerja dan perlindungan insurans bagi rawatan hospital dan pembedahan untuk golongan B40 dan M40.
“Para pekerja juga haruslah membuat pilihan yang tepat di dalam pilihanraya umum ini dengan memberi sokongan kepada mana-mana parti politik yang menjamin tuntutan-tuntutan seperti berikut,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam 21 tuntutan yang dibuat MTUC, ia turut memberi penekanan kepada pendidikan mengenai hak pekerja serta penyediaan peluang peningkatan kemahiran dan komprehensif.-MalaysiaGazette