Home Utama Rumah uzur berusia 36 tahun dapat pembelaan kerajaan

Rumah uzur berusia 36 tahun dapat pembelaan kerajaan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melawat rumah peserta Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Hashim Man di Pantai Johor, Kedah.

ALOR SETAR – Kesusahan hidup seorang ibu tunggal yang hidup bersama enam orang anaknya di sebuah rumah yang uzur sejak 36 tahun lalu mendapat perhatian kerajaan selepas dibaik pulih menerusi program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Nor Madiah, 60, yang kehilangan suami 21 tahun lalu di Alor Merah hidup di rumah yang serba daif, bumbung bocor dan mengalami masalah sambungan wayar elektrik yang menjejaskan kehidupan mereka sekeluarga.

Beliau merupakan salah seorang daripada 114 peserta dipilih sebagai penerima bantuan tersebut dengan kos pembaikkan RM12,767.

“Saya berterima kasih atas bantuan dan keprihatinan kerajaan kerana membaiki rumah kami yang serba kekurangan ini.

“Saya sayang untuk berpindah daripada rumah ini kerana ini rumah arwah suami saya yang beliau tinggalkan untuk kami tinggal… sudah beberapa tahun kami hidup serba kekurangan sehinggalah kerajaan memilih kami menyertai program PPRT ini,” kata beliau semasa menerima kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini di rumahnya.

Projek tersebut melibatkan dua daerah di Merbok dan Alor Setar yang menelan belanja keseluruhan RM9.3 juta, dimana sebanyak 110 rumah dibaiki dan empat lagi dibina baharu.

Agensi pelaksana projek tersebut melibatkan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Jelas Ismail Sabri, mereka yang terpilih dalam projek tersebut melalui proses yang teliti dan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan diperingkat negeri terlebih dahulu.

Ismail Sabri dan Ahmad Bashah juga turut melawat sebuah lagi rumah yang dihuni warga emas, Hashim Man, 87, di Kampung Seberang Pantai Johor  turut mendapat pembelaan apabila rumahnya dibaiki dengan kos sebanyak RM10,356.

Hashim yang kurang sihat teruja menerima kunjungan wakil rakyat kawasan tersebut dan berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan dengan bantuan ini,” katanya. – MalaysiaGazette