Home Nasional SPR tidak halang hasrat PH pakai lambang PKR pada PRU-14

SPR tidak halang hasrat PH pakai lambang PKR pada PRU-14

278, 590 pengundi awal akan mengundi awal esok
Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai halangan dengan hasrat Pakatan Harapan untuk menggunakan lambang parti PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, kebenaran untuk mana-mana calon yang akan bertanding di atas tiket PKR serta menggunakan logo parti itu tertakluk kepada kebenaran oleh pihak PKR itu sendiri dan bukan SPR.

Namun katanya, SPR mengingatkan, bagi tujuan mengambil bahagian dalam PRU-14, parti-parti politik mesti merupakan parti yang didaftarkan dan dibenarkan menjalankan segala aktivitinya di bawah Akta Pertubuhan 1966.

“Manakala bagi mana-mana parti politik yang bersetuju untuk membenarkan mana-mana bakal calon yang bertanding mewakili parti politik berkenaan diminta membawa surat kebenaran bertulis.

“Kebenaran bertulis itu mestilah ditandatangani oleh pegawai parti yang bertanggungjawab membenarkan calon itu menggunakan simbol parti tersebut selaras dengan Peraturan 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Mana-mana calon yang tidak mendapat kebenaran secara bertulis daripada parti yang ingin diwakilinya sekiranya layak untuk bertanding maka Pegawai Pengurus SPR akan memperuntukkan kepadanya suatu simbol yang sedia ada yang telah ditetapkan sebagai ganti,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Mohd. Hashim, selagi mana syarat dipatuhi, individu tersebut adalah layak untuk mewakili mana-mana Parti yang telah memberikan kebenaran bertulis tersebut.

Dalam perkara berkaitan, beliau menegaskan, tiada dalam peruntukan yang menyatakan ahli parti hanya boleh mewakili partinya sahaja dalam PRU.

“SPR juga tidak pernah menghalang selagi mana peruntukan dalam Perkara 11(2)(d) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh sesebuah parti bertanding.

“Peraturan dan garis panduan lengkap mengenai penggunaan logo dan bahan kempen akan dikeluarkan dalam masa terdekat oleh SPR bagi memperjelaskan kepada semua pihak-pihak yang berkepentingan,” tegasnya. – MalaysiaGazette