Home Dunia Starbucks tutup operasi untuk latihan diskriminasi

Starbucks tutup operasi untuk latihan diskriminasi

Kevin Johnson

NEW YORK – Starbuck menutup lebih 8,000 cawangannya di Amerika Syarikat pada 29 Mei ini depan untuk menganjurkan latihan ‘bias perkauman’.

Latihan itu bertujuan untuk menangani diskriminasi di cawangan-cawangan kafe itu.

Cadangan itu dibuat selepas Starbucks terpaksa memohon maaf susulan penahanan dua lelaki kulit hitam yang memasuki premis Starbucks di Philadelphia untuk bertemu seseorang.

Insiden itu telah mengundang protes oleh orang ramai dan menggesa kafe itu diboikot.

Ketua Eksekutif Starbucks, Kevin Johnson berkata, pihaknya mengakui kesilapan kafenya dan berjanji akan memperbaiki masalah itu.

Johnson berkata, dia sudah bertemu dengan dua lelaki kulit hitam itu selepas beberapa hari berada di Philadelphia.

Dalam satu kenyataan bersama, peguam dua lelaki itu dan Starbucks berkata, mereka sedang mengadakan perbincangan yang konstuktif.

Johnson memohon maaf bagi pihak syarikat dan perbincangan bagaimana “insiden yang menyakitkan itu boleh memperbaiki perubahan sosial yang lebih positif”, kata kenyataan itu.

Dianggarkan lebih 175,000 pekerjanya termasuk pejabat korporat akan menjalani latihan tersebut.

Penutupan itu dijangka mengakibatkan kerugian ke atas jualan latte sebanyak AS$20 juta.

Latihan itu akan “menangani bias tersirat, menggalakkan inklusi sedar, mencegah diskriminasi dan memastikan semua orang di dalam kedai Starbucks berasa selamat untuk datang,” kata kenyataan syarikat itu.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua lelaki kulit hitam yang memasuki kafe Starbucks di Philadelphia untuk bertemu rakan mereka telah ditahan polis.

Kehadiran polis itu selepas pengurus kafe berkenaan memanggil polis dan mendakwa dua lelaki berkenaan menceroboh selepas mereka tidak membuat pembelian.

Tindakan polis yang menjadi tular itu menimbulkan pertanyaan dalam kalangan kulit putih yang mendakwa mereka tidak pernah dilakukan seumpama itu walaupun melakukan perkara yang sama. – MalaysiaGazette