PULAU PINANG – Walaupun menyedari nyawa sendiri menjadi taruhan namun Zaidi Salleh nekad terjun daripada jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di sini untuk menyelamatkan seorang wanita yang cuba membunuh diri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi tadi, Zaidi, 52, yang bertugas sebagai polis bantuan Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) sedang meronda atas jambatan itu sebelum menerima maklumat mengenai kejadian seorang wanita yang terjun dari jambatan tersebut.
Dia yang datang dari arah Batu Kawan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian di Kilometer 9.9 di jambatan menghala ke pulau.
Ketika itu, dia menjangka wanita tersebut sudah lemas dan dihanyutkan arus namun terkejut selepas melihat mangsa sedang berpaut pada tiang konkrit di permukaan air.
“Sewaktu melihat mangsa masih hidup, saya dapat rasakan boleh menyelamatkannya kerana air laut belum pasang selain arus juga tidak terlalu kuat.
“Selepas terjun, saya berjaya menghampiri mangsa dan memegangnya sambil turut berpaut pada tiang konkrit sementara menunggu diselamatkan pasukan penyelamat,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Zaidi, selepas berpaut kira-kira 20 minit, air laut mulai pasang dan arus juga semakin deras menyebabkan mereka dihanyutkan ke tengah laut.
Namun, katanya, mereka bernasib baik kerana sempat berpaut pada tong ikan dipercayai hanyut daripada sebuah kelong berdekatan.
“Saya sempat mencapai tong ikan itu dan meminta wanita berkenaan berpaut padanya kerana saya tidak lagi boleh memegangnya sebab terlalu letih.
“Ketika itu juga, saya berpesan kepada wanita berkenaan supaya banyak mengingati Allah kerana jika dia melepaskan tong ikan itu, dia akan tenggelam dan saya tidak boleh menyelamatkannya lagi,” ujarnya.
Tambahnya, selepas kira-kira 20 minit terapung di tengah laut, mereka diselamatkan bot nelayan tempatan dari jeti Pulau Aman yang difahamkan dikerahkan oleh pasukan penyelamat sebelum di bawa ke jeti.
Sementara itu, ditanya sama ada dia pernah berdepan situasi sama sebelum ini, Zaidi mengakui kejadian individu terjun jambatan sudah acap kali berlaku.
Namun, katanya, ini adalah pengalaman pertamanya terjun menyelamatkan mangsa terjun jambatan.
Awal hari ini, video kejadian Zaidi menyelamatkan wanita 28 tahun itu yang dirakam dari atas bot nelayan menjadi tular di media sosial.- MalaysiaGazette
Wanita terjun jambatan P. Pinang berjaya diselamatkan