Home Politik PCM letak calon lawan Guan Eng di DUN dan Parlimen

PCM letak calon lawan Guan Eng di DUN dan Parlimen

Huan Cheng Guan

KUALA LUMPUR – Parti Cinta Malaysia (PCM) tekad untuk bertanding mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan berkata, antara objektif utama selain menang DUN berkenaan adalah untuk memastikan rata-rata celik dengan sikap sebenar Guan Eng.

Jelas beliau, adalah menjadi satu amalan bagi rata-rata pemimpin DAP terutamanya anak beranak Dinasti Lim untuk bertanding satu kawasan dan menang dengan menaburkan pelbagai janji manis.

“Mereka bukan sahaja akan taburkan pelbagai janji manis malah sentimen kebencian terhadap kerajaan juga akan disemaikan kepada rakyat.

“Selepas menang, mereka bukan sahaja tidak kisah dengan kawasan berkenaan malah setiap janji serta nasib penduduk di situ tidak akan terbela. Kemudian, menjelangnya PRU yang baru, mereka akan berpindah.

“Itu adalah taktik bukan mereka sahaja sebaliknya rata-rata pemimpin DAP. Kali ini PCM akan bertanding mencabar Guan Eng di mana-mana sahaja beliau tanding di kerusi DUN.

“Kita akan secara lantang berkempen bukan untuk kemenangan kita sahaja sebaliknya setiap keburukan serta taktiknya akan di dedahkan ketika itu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod, DAP hari ini mengumumkan Guan Eng akan mempertahankan DUN  Air Putih yang disandang sejak 2008.

Tambah Cheng Guan, calon PCM akan diumumkan pada masa terdekat namun mendedahkan ianya adalah orang tempatan yang diyakini mampu memberi saingan kepada calon parti lain.

“100 peratus calon adalah orang tempatan kerana kita percaya hanya orang Pulau Pinang tahu macam mana nak bantu penduduk di sini dan bukan seperti ada yang paying terjun dari negeri-negeri lain.

“DAP banyak membawa masuk calon luar yang bukan sahaja tidak tahu tentang permasalahan pengundi dan rakyat di negeri ini tetapi secara angkuh akan meletakkan sesiapa sahaja sesuka hati. Itu memang budaya mereka,” tegasnya.

Dengan bertemakan ‘Demi Rakyat Pulau Pinang, Lawan Tetap Lawan’, PCM dijangka membuat pengumuman calon dalam masa terdekat.

PCM melalui Cheng Guan telah banyak mendedahkan segala macam kepincangan kerajaan DAP dalam memerintah negeri itu selama hampir 10 tahun. – MalaysiaGazette