KUALA LUMPUR – Kerajaan menggantikan sistem imbasan biometrik dengan teknologi pengecaman wajah penumpang di setiap lapangan terbang di negara ini tidak lama lagi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, teknologi baharu itu akan dipasang di 128 hingga 130 pintu automatik yang ada di lapangan terbang utama negara.
“Kita nak perlengkapkan dengan elemen penambahbaikan dengan sistem sedia ada apabila pengecaman wajah ini akan mempercepatkan pelepasan penumpang kepada kurang 7 saat berbanding sistem cap jari biometrik yang memakan sedikit masa sehingga 15 saat.
“Sistem pengecaman wajah ini akan dipasang setelah mendapat kelulusan peringkat Pusat termasuk Kementerian Kewangan sebelum kita tentukan jumlah kos pemasangan serta tarikh ia dilaksanakan sepenuhnya kepada awam.
“Kita akan menyediakan di 120 pintu automatik yang sedia ada di pintu masuk utama udara di negara ini sebelum ini kita akan melaksanakan secara berperingkat di pintu utama negara seperti KLIA, klia2,Bayan Lepas, Senai dan Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigresen (CIQ),” katanya kepada pemberita.
Beliau kemudian memperkenalkan prototaip teknologi pengecaman wajah di pintu automatik di ruang pameran DSA 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Tambah Mustafar, bagi memastikan pemasangan peralatan itu tidak mengganggu kelancaran urusan penumpang, pihaknya akan menyediakan kaunter manual tambahan semasa pemasangan dilakukan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Datasonic Group Berhad, Zulkhornain Ranee berkata, pihaknya akan melakukan kerja-kerja pemasangan secara berperingkat bermula suku keempat tahun ini.
“Data yang ada pada imigresen akan digunakan untuk mengecam wajah penumpang semasa pelepasan mereka di pintu automatik menggunakan pengimbasan wajah tersebut.
“Bacaaannya 99.9 peratus berketepatan tinggi walaupun wajah seseorang penumpang itu terjejas atau dibedah plastik. Dulu ada masalah dengan penumpang seperti petani untuk membaca cap jari secara jelas dan selepas ini tidak wujud keperluan itu.
“Kita perlukan masa pemasangan tanpa gangguan dan akan bincang dengan Kementerian Dalam Negeri dan Imigresen untuk kelancarannya,” ujar beliau.
Ditanya mengenai keberkesanan kepada penghutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam, katanya, ia tidak akan menjadi masalah tetapi menasihatkan peminjam supaya memeriksa di kios untuk mengelak gangguan semasa pemeriksaan di lapangan terbang. – MalaysiaGazette