HULU SELANGOR – Penyandang kerusi Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan mahu terus menabur jasa kepada masyarakat kawasan itu jika diberikan mandat lagi pada PRU-14.
Menurutnya, masih banyak lagi kemajuan serta pembangunan menjadi agenda dan aspirasinya akan direalisasikan seandainya diberikan peluang.
Jelas Kamalanathan yang juga merupakan Timbalan Menteri Pendidikan I, soal majoriti pengundi Melayu di Hulu Selangor bukan satu ukuran sebaliknya semuanya di pandang sama oleh beliau.
“Saya ingin berjasa tidak kira agama, kaum dan latarbelakang. Saya senang dengan semua dan saya amat pasti saya juga di terima selama ini. Antara program yang menjadi tradisi saya sejak tahun 2010 ialah program sahur.
“Saya akan bangun seawal empat pagi dan bersahur bersama-sama masyarakat Islam di Hulu Selangor dan rata-rata mereka juga sangat mengalu-alu kehadiran saya. Sehingga kini, ianya menjadi sebutan dan amalan.
“Rata-rata mereka juga saya kembali bertanding,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.
Apa pun, Kamalanathan menyerahkan soal calon kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam membuat keputusan terbaik.
“Kita tunggu dan lihat apakah keputusan mereka. Pada saya, saya telah lakukan yang terbaik demi dan untuk masyarakat di Hulu Selangor.
“Seandainya diberikan peluang, tentu saya akan cuba yang terbaik dan biarkan pengundi di Hulu Selangor untuk membuat keputusan mereka tentang rekod cemerlang saya.
“Mereka yang lebih tahu. Pusat khidmat saya sentiasa terbuka jika saya tiada dan sibuk dengan kerja di Kementerian sekalipun, pegawai-pegawai sentiasa efisyen dalam menangani setiap isu dan perkara,” katanya.
Sejak tahun 1990, kerusi Parlimen Hulu Selangor dimenangi MIC sehingga tahun 2004 sebelum tewas kepada calon PKR pada tahun 2008.
Wakil rakyat pertama Parlimen Hulu Selangor daripada UMNO iaitu Datuk Halimaton Sadiah dan kerusi itu pernah diberikan kepada MCA sebelum diserahkan kepada MIC pada 1990.
Kamalanathan merampas kembali kerusi itu untuk BN pada tahun 2013 apabila mengalahkan calon PKR, Khalid Jaafar dengan majoriti kira-kira 3,400 undi.
Dalam pada itu, ketika di soal tentang bagaimana beliau menangani sesetengah komen negatif mengenai dirinya, Kamalanathan menganggap itu lumrah sebagai ahli politik.
“Tomahan serta tuduhan melulu tanpa usul periksa serta fakta tidak tepat terutamanya dalam laporan media sehingga saya menjadi bahan kritikan untuk berbulan-bulan adalah perkara biasa. Memang ada kalanya laporan itu sengaja ‘direka’ kerana agenda sesetengah pihak.
“Memang sangat senang untuk seseorang individu atau kumpulan tertentu mendakwa macam-macam.. yang bekerja keras siang dan malam adalah saya dan tentunya kerajaan BN dan MIC.
“Saya sudah lali dan biasa. Pada saya, banyak perkara penting dan membina yang boleh saya lakukan dalam tempoh yang sangat sikit. Saya juga sangat berbangga dengan pencapaian serta perubahan yang telah saya lakukan sejak bergelar ahli politik selama ini.
“Orang yang rapat dan mengenali saya tahu keupayaan itu,” tegasnya.- MalaysiaGazette