Home Nasional Bangunan parkir kereta 3 tingkat untuk penduduk kuarter kerajaan

Bangunan parkir kereta 3 tingkat untuk penduduk kuarter kerajaan

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor mengendalikan jengkaut sebagai gimik perasmian pada Majlis Pecah Tanah Tempat Letak Kereta Bertingkat Fasa 4B di Presint 8, Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2018.

PUTRAJAYA – Sebuah bangunan tempat letak kereta tiga tingkat akan dibangunkan di Kuarter kerajaan Fasa 4B, Presint 8, Putrajaya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya berkata, projek berkenaan bertujuan untuk menangani masalah kekurangan tempat letak kereta yang dihadapi penduduk di sejak berhijrah ke kawasan perumahan kerajaan berkenaan.

Katanya, ia adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) mendengar permintaan penduduk Putrajaya.

“Projek berkenaan akan disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi dengan dilengkapi 122 tempat letak kereta setinggi tiga tingkat.

“Kita juga akan menyediakan tempat letak kereta yang khas untuk Orang Kelainan Upaya,” katanya selepas majlis pecah tanah projek itu yang dihadiri lebih 300 orang penduduk setempat kuaters kerajaan itu di sini hari ini.

Turut bersama, Ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Datuk Seri Adnan Md. Ikshan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Adnan berkata, projek itu diluluskan kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dengan memperuntukkan berjumlah RM2 juta.

Malah beliau meminta keizinan dan kerjasama penduduk setempat untuk mempercepatkan kerja-kerja pembinaan tempat letak kereta itu.

“Kalau dibenarkan kerja di waktu malam Sabtu dan Ahad termasuk lebih masa pada hari biasa kita boleh menyegerakan persiapan bangunan ini.

“Kita akan meminimunkan bunyi daripada kerja pembinaan seperti memasang konkrit dan sebagainya di mana pelantikan kontraktor binaan serta kerja pembangunan akan dimulakan Julai ini.

“Penyediaan parking berkenaan adalah tambahan kepada 110 lot parkir yang sudah sedia ada. Kita akan membincangkan dengan Datuk Bandar Perbadanan Putrajaya bagaimana untuk memudahkan parkir kereta sementara sepanjang proses pembangunan.

“Kita sedar akan situasi yang mana kekurangan parkir ketika ini memaksa penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan utama berhampiran kuarters ini.

“Kita akan mencari kaedah sesuai bersifat sementara untuk menangani isu berkenaan supaya tidak mengugat keselamatan penduduk di waktu kecemasan bomba, ambulans dan sebagainya,” ujar beliau.- MalaysiaGazette